● Lagenda Sabah : Monsopiad (HeadHunters Sabah)
Lebih kurang 300 tahun yang lalu, masyarakat kadazandusun di kampung Kuai Kandazon, Penampang tinggal di rumah panjang. Sungai Moyog merupakan satu-satunya jalan utama perhubungan menuju ke arah Petagas dan ke arah Donggongon. Mereka mengunakan sungai sebagai jalan utama untuk mengambil hasil hutan dan menjual beli barangan antara mereka secara `barter trade’. Jika tidak menaiki sampan atau berakit, mereka berjalan kaki meredah hutan menuju ke tempat yang ditujui. Pada masa itu, kampung ini sering didatangi oleh perompak-perompak. Perompak-perompak ini mencuri hasil pertanian dan ternakan mereka. Keadaan ini menjadi ancaman kepada penduduk-penduduk disitu. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan tidak berani berjalan seorang diri ke dalam hutan dan mengerjakan pertanian mereka. Bermula daripada peristiwa itu, seorang lelaki yang bernama Monsopiad telah membunuh dan memenggal kepala-kepala perompak itu dan mempamerkannya sebagai satu amaran kepada perompak-perompak lain agar tidak datang ke kampung mereka. Monsopiad berjaya memenggal 42 kepala manusia sepanjang riwayatnya termasuklah pencabar-pencabar Monsopiad yang tinggal di daerah Penampang. Dikatakan Monsopiad telah mengukir tanda pangkah bagi setiap kepala perompak yang berjaya dipenggal pada sebuah batu . Batu ini akhirnya dijadikan sebagai batu nisan Monsopiad selepas dia meninggal.
● Kelahiran Monsopiad.
Sejarah bermula apabila Kizabon melahirkan seorang anak lelaki iaitu hasil perkahwinannya dengan Dunggou iaitu suaminya. Mereka tinggal di sebuah rumah panjang di kampung Kuai Kandazon, Penampang sejak 300 tahun yang lalu. Peristiwa bermula apabila Kizabon dan Dunggou terdengar bunyi seekor `Bugang ’ diatas bumbung rumah mereka ketika Kizabon sedang melahirkan anak. Dunggou menganggap kejadian itu terlalu istimewa lalu dia memanjat bumbung rumah panjang itu. Disitu dia ternampak satu sarang Bugang. Di dalam sarang itu, terdapat sebiji telur Bugang yang turut menetas. Tetapi Bugang tidak berada disitu lagi. Yang tinggal hanyalah pecahan kulit telur. Dunggou menganggap kejadian itu sebagai satu petanda yang baik dan percaya bahawa anak lelakinya yang baru dilahirkan itu adalah anak yang perkasa. Lalu Dunggou mengambil pecahan telur itu dan merendamkan ke dalam mandian anaknya. Perkara ini sentiasa dilakukan oleh Dunggou sehinggalah anaknya membesar. Dunggou menamakan anaknya sebagai Monsopiad.
● Monsopiad diajar seni mempertahankan diri
Setelah dewasa, Monsopiad diajar oleh datuknya dalam seni mempertahankan diri. Monsopiad dikatakan seorang yang tampan dan segak serta berambut panjang. Ketinggiannya adalah sederhana sahaja. Ketampanan dan susuk badan Monsopiad menyebabkan ramai gadis-gadis berminat berkahwin dengannya. Monsopiad juga selalu berlatih dengan menggunakan pedang yang diberikan oleh datuknya. Disamping berlatih menggunakan pedang, Monsopiad gemar melompat sungai-sungai dan parit-parit. Lompatannya ini dikatakan sangat luarbiasa.
● Bermulanya Sejarah Memenggal Kepala Oleh Monsopiad
Pada satu hari, lebih kurang 40 orang gadis meminta Monsopiad menemani mereka pergi ke sawah padi untuk `menabas ’. Setibanya di sawah padi, mereka mendapati padi-padi mereka sudah di curi. Mereka sangat kecewa kerana selama ini mereka bertungkus lumus mengerjakan sawah padi tetapi hasilnya tidak banyak kerana di curi. Monsopiad memberitahu gadis-gadis itu bersabar dan terus mengerjakan sawah padi mereka seperti biasa dan tunggu semusim lagi. Semusim telah berlalu, sekali lagi perompak-perompak itu mencuri hasil pertanian mereka. Gadis-gadis itu sangat marah lalu mencabar Monsopiad agar memenggal kepala perompak-perompak itu jika dia seorang lelaki. Mereka berjanji akan melantik Monsopiad sebagai `Huguan Siou’ dan segala apa yang dia cakap, penduduk disitu akan menurutinya. Monsopiad pun bersetuju dengan syarat, jika dia berjaya memenggal kepala-kepala perompak itu, dia mahu satu penghormatan khas diadakan iaitu Monsopiad harus digendong dan satu jamuan makan secara besar-besaran diadakan dan semua orang harus berkumpul untuk menyambut kepulangannya. Gadis-gadis itu meminta apakah petanda Monsopiad berjaya membawa balik kepala perompak-perompak itu. Monsopiad mengatakan, dia akan menjerit `Kiii...hii... ’ sambil membunyikan `tobui ’. Keesokkan harinya, Monsopiad menggalas sebuah `gozong ’ yang berisi makanan dan membawa sebilah pedang lalu beredar dari rumah panjang untuk mencari perompak-perompak. Seperti yang dijanjikan oleh Monsopiad, dia telah berjaya memenggal beberapa kepala perompak-perompak dengan menggunakan pedang. Kepala-kepala perompak itu dimasukkan ke dalam `gozong’ nya lalu balik ke rumah panjang. Monsopiad telah disambut secara penuh tradisi sebagai seorang `Huguan Siou’ oleh golongan `bobohizan ’ dan penduduk kampung. Perkara ini berterusan sehinggalah keadaan menjadi aman di kampung mereka. Kepala-kepala yang dipenggal diletakkan diatas `bangkahak’ untuk dikeringkan kemudian dicampurkan dengan `hizad ’. Selepas itu, tidak ada lagi kedengaran perompak-perompak datang ke kampung mereka untuk mencuri ternakan dan pertanian. Walau bagaimanapun, beberapa orang yang tinggal di kawasan penampang merasa tidak senang hati dengan kehandalan Monsopiad. Mereka ialah Gantang , Manggung dan Sangkad . Mereka terasa tercabar dan mahu berlawan dengan Monsopiad bagi menunjukkan siapa yang handal di seluruh daerah Penampang. Malangnya pencabar ini semuanya berjaya ditewaskan oleh Monsopiad dan seterusnya memenggal kepala-kepala mereka.
● Kematian Monsopiad
Pada suatu malam, semasa Monsopiad tertidur kerana mabuk meminum tapai di rumah kediamannya, Monsopiad telah di serang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali yang mahu membunuh Monsopiad dengan menggunakan parang. Penyerang gagal membunuh Monsopiad kerana Monsopiad dikatakan kebal. Pada malam itu, Monsopiad berjaya menewaskan beberapa penyerangnya dengan hanya menggunakan penumbuk. Walau bagaimanapun, daripada serangan itu, Monsopiad telah tertumbuk dinding rumah yang diperbuat daripada bambu kerana penyerangnya berjaya mengelak. Ini menyebabkan tangan Monsopiad terluka terkena bambu. Melihat keadaan itu, Monsopiad melompat keatas bumbung rumah lalu melarikan diri dan bersembunyi ke dalam hutan. Selepas kejadian itu, Monsopiad menderita kesakitan dan luka itu tidak dapat disembuhkan. Monsopiad akhirnya meninggal dan dikuburkan diatas bukit di kampung Kuai Kandazon, Penampang oleh penduduk-penduduk kampung. Batu yang di ukir oleh Monsopiad kemudiannya diletakkan diatas kuburan Monsopiad. Kuburan ini masih kelihatan sehingga sekarang.
Daripada kajian penyelidikan yang dijalankan di lapangan, wujud kegiatan memenggal kepala di Sabah sejak 300 tahun yang lalu. Ini berdasarkan kepada penemuan tengkorak-tengkorak kepala manusia, pedang, batu nisan dan tugu peringatan yang masih kelihatan sehingga sekarang di Kampung Kuai Kandazon, Penampang.